Mar 23, 2013

Aku

Aku berkurung di dalam kegelapan. Menulis ini cuba untuk melakar sesuatu sebagai rujukan..

Aku baru sahaja mandi. Kenapa? Kerana petang tadi tidak mandi. Kenapa? Kerana tiada perancangan yang mengharuskan untuk aku mandi. Jadi, kenapa mandi malam ini? Tiada perancangan juga. Kenapa tetap mandi walau tiada desakan?

Menatap cermin sambil mengeringkan rambut dan bersenyum untuk meningkatkan keyakinan diri. Juga tidak tahu sebab kenapa.

Berpakaian, duduk di atas lantai dan mula bertutur jari.

Malam yang sepi. Malam yang sunyi. Tiada desakan untuk menyiapkan kerja. Tiada desakan untuk menghiburkan diri. Hanya duduk rapi menjalani takdir ilahi.

Berfikir ; diri aku sebagai manusia. Yang punya agama. Yang disertakan akal jiwa dan maruah. Tetapi masih tidak jumpa satu perkara yang membuat diri ini untuk rasa bahagia, rasa tenang mahupun rasa penuh hidayah. Dan tersedarlah aku bahawa akan kewujudan nafsu, yang tidak berjisim, tidak berbau dan tidak berasa.

Nafsu adalah kata hati. Yang kontra dengan fitrah. Apa yang perlu dia tidak mahu. Apa yang tidak mampu, dia mahu. Apa yang dilarang, dia lagi melonjak keriangan menerima cabaran.

Nafsu adalah pemujuk. Nafsu adalah penggoda. Nafsu adalah benteng kepada segala kebenaran.

Di umur yang penuh kekeliruan antara muda dan tua, perjuangan makin hebat. Makin susah. Dosa adalah dosa. Ia juga pahala. Tidak malu lagi. Malah berbangga. Tetapi bersyukurlah jika masih ada serba serbi kesalahan di dalam lubuk hati kerana sesungguhnya itulah kebenaran iman yang meronta untuk dimenangkan.

Saban hari melalui kehidupan seorang yang berakal, seorang yang mampu bersuara dan menyoal, aku semakin hilang arah kerana terlalu selesa dan taksub dengan berkat ini. aku cuba menembusi batas akal, membuat orang tidak selesa, marah dan berdendam.

Dahulu diri yang sentiasa mengajar, yang memberi suntikan pemikiran, kini menghamparkan diri meminta pertolongan. Meminta kasih sayang dan penghargaan.

Tetapi.

Senyumlah aku. Sengihlah aku. Sebagaimana tersenyum dan tersengihnya aku di depan cermin mencipta keyakinan. Aku masih punya kesedaran. Ini hanya fasa pemikiran. Ini hanya fasa kesesatan. Aku boleh laluinya. Semua manusia boleh mengharunginya.

Hanya perlu yakin. Hanya perlu cipta keyakinan, membina kekuatan. Sebagaimana kita mandi walau tiada perancangan, terus menatap cermin membina keyakinan untuk sentiasa bersedia, menghadapi dunia di luar sana.


Calu